Ada sesetengah mereka yang gemar melakukan pengembaraan solo dengan alasan mahu berdikari dan menimba pengalaman di tempat orang. Walaupun korang bebas mengembara ke mana saja yang korang inginkan tetapi kami percaya korang pasti mempunyai banyak persoalan lebih-lebih lagi apabila korang mengembara secara solo kan. Jadi untuk menjawab persoalan korang, sila baca tips - tips dibawah.

“Saya merancang untuk mengembara secara solo. Adakah terdapat destinasi yang khusus untuk pengembara solo seperti saya?”

Bertenang! Korang tidak berseorangan. Bahkan pengembara solo semakin hari semakin bertambah ekoran banyak kemudahan disediakan pada masa kini. Tidak ada destinasi yang mengharamkan pengembaraan solo kerana ia lebih mudah dan lebih seronok. Apa yang korang perlukan apabila merancang untuk mengembara ke luar negara adalah kemahiran berbahasa Inggeris yang baik. Sekalipun sesat, korang masih boleh bertanya dan orang sekeliling tidak ada masalah untuk memahami pertuturan korang.

“Apakah kaedah yang boleh digunakan untuk berhubung saat di tengah kota atau di atas jalan?”

Di sinilah peranan media sosial seperti Facebook, Twitter dan lain-lainnya membantu korang. Jangan terkejut apabila korang akan bertemu dengan rakan lama yang berkemungkinan turut berada di destinasi yang sama. Siapa tahu, mereka mungkin mempunyai saudara mara di destinasi yang korang tuju dan ini memudahkan pengembaraan korang. Terdapat satu website yang membantu korang berhubung dengan penduduk tempatan seluruh dunia atau berhubung dengan pengembara solo yang lain seperti website IndependentTraveler.com atau couchsurfing.org.

“Adakah cara bagaimana ingin mengurangkan kos apabila mengembara secara solo?”

Walaupun korang mengembara secara solo, biasanya korang akan dikenakan bayaran penginapan  dua kali ganda seperti menetap di hotel mewah. Hal ini kerana, sesetengah bilik hotel akan mengenakan bayaran berdasarkan dua penginap dan semestinya kadar ‘double’ dikenakan. Apa yang korang perlu lakukan adalah jangan segan bertanyakan tentang diskaun. Tekankan bahawa korang hanya berseorangan, korang menggunakan elektrik dan air yang sedikit malah hidangan adalah untuk seorang. Dari segi pengangkutan pula, jalan kaki atau menggunakan keretapi adalah lebih jimat. Elakkan menaiki teksi atau menyewa kenderaan biarpun korang ada international driving license! Nama pun mengembara kan, ketepikan seketika keselesaan korang tu.

“Saya takut untuk keluar makan seorang diri. Tolonglah!”

Pastikan korang memilih lokasi yang menjadi tumpuan dan ramai pengunjung. Duduk di meja seorang diri boleh mengundang masalah apabila korang akan didatangi individu yang tidak dikenali atau mempunyai niat yang tidak baik. Memandangkan korang mengembara secara solo, ada baiknya korang memilih tempat duduk yang berkongsi meja berbanding memilih meja perseorangan. Sekurang-kurangnya, korang mempunyai teman untuk berbual apabila duduk di meja kongsi. Jika korang bukan seorang yang gemar bercakap, pastikan bawa majalah atau apa saja untuk dibaca. Selain restoran, korang boleh juga bersantai dengan membawa bekalan makanan ke taman rekreasi tumpuan ramai sambil melihat pemandangan. 

“Saya risau akan keselamatan. Apa yang perlu saya buat?”

Untuk mengurangkan risiko, ikuti empat tips di bawah:
1. Jalanlah dengan penuh yakin. Jalan tanpa menunjukkan  rasa takut walaupun hakikatnya korang memang sedang ketakutan. Penyeluk saku akan menyerang pengembara yang kelihatan keliru untuk dijadikan mangsa.
2.  Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Jika korang lalai untuk beberapa saat, dompet atau barangan penting korang boleh hilang dalam sekelip mata. Pastikan korang mengunci zip beg, butangkan poket seluar dan simpan barangan di tempat yang mudah dilihat.
3. Atur jadual. Jika naluri korang merasa kurang selesa untuk keluar mengembara pada waktu malam, elakkan keluar malam. Selain itu, pastikan bawa bekalan makanan yang mencukupi sepanjang perjalanan korang. Lebih - lebih lagi jika mengembara ke negara yang sukar untuk dapatkan makanan halal.  Elakkan juga keluar mengembara sehingga lewat malam.
4. Jauhi dari individu tidak dikenali. Jika korang adalah wanita, pastikan korang memakai cincin palsu supaya tidak diganggu oleh orang sekeliling. Mereka akan beranggapan korang sudah berpunya! Begitu juga dengan pengembara lelaki, elakkan melayan orang yang tidak dikenali kerana ia mungkin satu perangkap.



Jika orang lain boleh mengembara secara solo, mengapa tidak korang kan? Apa yang penting, buatlah persediaan yang cukup rapi dari segi fizikal, mental dan pembacaan yang meluas mengenai pengembaraan. Jadi tidaklah korang ‘blur’ apabila keluar mengembara nanti!


LIKE dan FOLLOW kami di FacebookTwitter serta Instagram