20 Tips Sewaktu Travel Ke Maldives

Nota Penulis: 20 tips ini telah dikongsikan oleh Ikram Al-Banjari di akaun Facebook beliau. Kami kongsikan semula disini dan semoga ia dapat dijadikan panduan buat korang yang ingin travel ke Maldives.

Kepulauan Maldives merupakan destinasi percutian idaman bagi ramai orang. Alhamdulillah saya sudah sampai ke sana bagi tujuan percutian dan perniagaan. Berikut adalah tips-tips yang saya mahu kongsikan sebagai panduan dan persediaan kepada mereka yang mahu bercuti ke Maldives.

1. Rancang perjalanan awal sekurang-kurangnya enam (6) bulan sebelum tarikh berlepas. Maldives boleh dikunjungi sepanjang tahun, paling baik diantara bulan Oktober sehingga April.

2. Cuaca di Maldives panas dan hujan sepanjang tahun. Iklim tropika di gugusan kepulauan Maldives menjadikan setiap pulau, pantai dan kehidupan dasar laut subur dan cantik sekali seolah tidak pernah terusik.
3. Maldives merupakan sebuah negara terkecil di Asia dan juga merupakan sebuah negara Islam. Dengan kepadatan penduduk diseluruh pulau-pulaunya mencecah 400,000 orang, Maldives bergantung kepada sumber perikanan dan pelancongan sahaja.

4. Male (disebut MA-LEY) adalah ibu negara Maldives. Di pulau Male inilah terletak pusat pentadbiran, perbankan, ekonomi, masjid negara dan pasar. Airport terletak di sebuah pulau khas berhampiran Male.

5. Pilih penerbangan Sri Lankan Air untuk tambang lebih murah berbanding yang lain. Perlu juga selalu membuat semakan harga Singapore Airlines, Malaysia Airlines dan Thai Airways untuk harga promosi. Harga dari RM1300 seorang untuk pergi dan balik dari KLIA ke Male.


6. Pilih resort yang kita suka secara online di HotelsCombined.com atau di Agoda.com.my. Bayaran menggunakan Debit Card atau Credit Card boleh diterima disana. Pastikan salinan tempahan bilik disimpan dengan baik. Pegawai imigresen Maldives akan minta apabila sampai disana nanti.
7. Harga resort bergantung kepada bajet dan fasiliti yang kita mahu. Harga resort dari RM100 satu malam. Setiap resort dibina diatas sebuah pulau sahaja. Berhati-hati memilih resort, sekiranya membawa anak-anak kecil, pastikan resort yang dipilih membenarkan anak kecil dibawa bersama. Sesetengah resort tidak membenarkan kanak-kanak masuk bagi tujuan privacy.
8. Cadangan tempoh percutian paling ideal dan nyaman adalah sekurang-kurangnya 4 malam di Maldives. Kebiasaannya, saya memilih untuk transit dahulu di hotel sekitar airport (kerana ketibaan malam), harga dari RM70 satu malam. Esoknya selepas sarapan, saya ke airport semula untuk memilih resort (boleh tawar menawar dengan wakil jualan resort).

9. Kita akan dibawa menaiki bot laju ataupun seaplane dari airport ke pulau. Biasanya harga bot laju sudah termasuk dalam pakej. Sediakan tips buat pembantu bot. Berikan salam kerana mereka semuanya Muslim belaka. Seaplane perlu ditempah lebih awal, boleh layari Transmaldivian.com.
10. Terdapat lebih kurang 230 resort disetiap gugusan pulau Maldives dan lebih kurang 30 buah hotel transit berhampiran airport untuk dipilih. Berhati-hati juga dengan setiap menu yang dihidang, lebih baik bertanya dahulu sebelum ambil makanan.

11. Apabila sudah sampai ke resort di pulau pilihan kita, aktiviti seterusnya bergantung kepada pakej yang ditawarkan oleh pihak resort. Harga pakej juga tergantung kepada setiap aktiviti dan jarak ke lokasi.
12. Aktiviti popular di Maldives adalah seperti snorkeling dan diving (percuma sekitar resort). Perkakas boleh dipinjam atau disewa daripada pihak resort. Pakej memancing, bersiar menaiki bot, bersiar menaiki kapal terbang, melawat ke pulau Male dan pusat kraf disetiap pulau berhampiran adalah sangat menarik dan disyorkan.

13. Matawang tempatan Maldives adalah Rufiyya. Walau bagaimanapun, matawang US Dollar digunakan secara meluas diseluruh Maldives. Tukar sedikit USD sebelum ke sana bagi tujuan memberi tips, membeli cenderamata dan kecemasan. Jangan bawa terlalu banyak wang.
14. Gunakan kad debit (Maybank,CIMB,Bank Islam,dll) bagi tujuan pembayaran pakej aktiviti, makan minum dan caj-caj lain diatas pulau. Tanya kepada pihak resort sama ada harga yang dipaparkan itu sudah termasuk 10% caj perkhidmatan dan 6% cukai kerajaan atau belum.

15. Harga makan dan minum tambahan (Room Services) di Maldives agak tinggi kerana bahan mentah kebanyakannya di import dari luar negara dan perlu dibawa pula ke setiap pulau. Pastikan kita bertanya harga yang jelas bagi mengelakkan “terbeliak biji mata” apabila melihat bil selepas daftar keluar nanti.
16. Mohon bawa ubat-ubatan peribadi sendiri sekiranya perlu. Jarak sesetengah resort ke hospital atau klinik di Male agak jauh. Minyak angin, plaster, minyak kapak, losyen kulit, panadol, antibiotik, ubat batuk dan selsema adalah keperluan ubat asas.

17. Sangat rugi sekiranya kita tidak bersedia dengan kamera yang boleh merakam moment indah didalam air. Gunakan kamera berkualiti tinggi, kecil, mudah dibawa dan bateri tahan lama seperti GoPro Hero apabila ke sana.
18. Mohon bawa sejadah sendiri dari rumah ke Maldives untuk pengalaman solat di resort dan diatas bot (ketika beraktiviti) yang selesa dan lebih khusyuk. Ketenangan dan keindahan ciptaan Allah di Maldives membuatkan kita lebih fresh, bertenaga dan mencurah ilham untuk menjadi hamba yang lebih bersyukur, bertaqwa dan berbuat lebih banyak kebaikan.

19. Bagi kaki pancing pula, Maldives adalah syurga popping, jigging dan bottom fishing. Dapatkan pakej memancing terus dari resort. Pastikan lesen dikeluarkan bagi mengelakkan ditangkap dan didenda. Memancing tanpa lesen merupakan kesalahan berat di Maldives. Bawa peralatan sendiri dari sini.
20. Akhir kata, buat rancangan awal untuk percutian ke Maldives bagi menjimatkan kos. Setiap pulau dan resort mempunyai keunikan sendiri. Kesemuanya cantik dan indah belaka. Pengalaman ini harus diteroka bergantung bajet dan minat kita. Sesungguhnya Maldives adalah ciptaan dan keindahan yang luar biasa daripada Allah buat kita makhluknya.

Sumber : TheVocket

LIKE dan FOLLOW kami di FacebookTwitter serta Instagram

Unknown

“You don’t have to be rich to travel well.” – Eugene Fodor

No comments:

Post a Comment